Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud membenarkan pembukaan pintu sempadan Salwa di negara ini untuk membolehkan jemaah haji dari Qatar menunaikan rukun Islam kelima tahun ini di sebalik pertelingkahan yang berlaku antara kedua-dua negara.
Pintu sempadan Salwa yang merupakan satu-satunya pintu masuk Qatar melalui jalan darat ditutup pada bulan Jun lalu selepas Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir memboikot Qatar kerana mendakwa negara itu menyokong pertubuhan pengganas dan individu serta mengekalkan hubungan rapat dengan Iran yang didakwa cuba menjejaskan kestabilan Asia Barat.
Jemaah berkenaan boleh memasuki Arab Saudi tanpa perlu mengemukakan kebenaran secara elektronik.
Portal Arab News melaporkan, pemimpin Arab Saudi itu juga mengarahkan sebuah pesawat milik Saudi Arabian Airlines diterbangkan ke Doha bagi membawa jemaah haji dari Qatar ke Jeddah.
Menurut Saudi Press Agency semalam, cadangan membuka pintu sempadan telah dikemukakan kepada Raja Salman oleh Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman yang sebelumnya mengadakan pertemuan dengan kerabat diraja Qatar, Sheikh Abdullah bin Ali di Istana Keamanan di sini.
“Ketika pertemuan itu, Sheikh Abdullah bin Ali menegaskan tentang hubungan antara Arab Saudi dan Qatar yang akrab dan telah lama terjalin. Beliau turut menawarkan khidmat perantara untuk membuka pintu sempadan Salwa bagi jemaah Qatar ke wilayah Arab Saudi,” kata SPA.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Al Thani telah tiba di Kuwait, dalam satu lawatan mengejut.
Menteri Luar Qatar itu mengadakan pertemuan dengan Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Jaber al-Sabah bagi menyampaikan mesej dari Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani tentang hubungan dua hala dan perkembangan serantau dan antarabangsa terkini.
Dalam perkembangan berasingan, stesen televisyen Bahrain mendakwa Qatar cuba menggulingkan kerajaan di Manama dengan mendalangi perhimpunan antikerajaan yang menjejaskan kerajaan itu sejak enam tahun lalu.
Menurut stesen itu, bekas Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad bin Jassem Al-Thani pada tahun 2011 menghubungi Ali Salman, ketua kumpulan pembangkang terbesar Bahrain, Al-Wefaq dan meminta beliau menggesa penunjuk perasaan memenuhi jalan raya dan meningkatkan tekanan kepada kerajaan. –AGENSI
18 Ogos 2017 - 05:27
News ID: 848983
Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud membenarkan pembukaan pintu sempadan Salwa di negara ini untuk membolehkan jemaah haji dari Qatar menunaikan rukun Islam kelima tahun ini di sebalik pertelingkahan yang berlaku antara kedua-dua negara.